Intan

INTAN

Kata-kata manis terungkap
Membelai hati diawang rindu
Setiap cebisan kata
Aku simpan rapat dalam celepa
Biar garuda melanggar kita
Hancur... Berkecai di wajah bumi
Namun kenangan yang tercipta
Tiada serpihan terlerai
Dipatri kemas sang jauhari.

Manusia leka dengan dunia
Rambang mata ditayang harta
Permata dibolot
Berlian direbut
Manikam dipulun
Tapi aku, masih setia pada dia
Intan...

Si berada memecah tawa
Akibat intan menjadi pilihan
Dibilang tiada ternilai
Umpama besi berkarat.

Sinar baiduri jauh menyilau
Sedang intan hanya berkaca
Hati berkenan bukan kerana rupa
Namun kerana kasih tertumpah disebalik hikayat.

Dikata orang intan pembawa bencana
Punca sakit membadai diri
Biar gurun menghempap badan
Akan kucuba bertahan.

Tercalar tubuh sang intan
Pedih...
Kerana sayang
Aku relakan jasad ini disakiti
Aku turutkan air sungai yang kering dihaluan kata
Kerana aku tahu
Betapa peritnya kau sang intan
Menanggung sendu dijiwa.

Lima jemari menjadi saksi
Akan aku gilapkan tubuhmu yang tercalar
Akan aku kembalikan intan yang lama
Sang intan si penyejuk mata.

Suara kecil si hati berbisik
Daku sedar tika kita berjumpa kembali
Semuanya tidak lagi sama
Tidakkan serupa
Kerana telahku hiris dikau wahai sang intan.

Segala memori indah kita bersama
Akan tetap aku kunci
Tiada gerangan yang mampu mengintai
Walau secebis kata yang terlerai...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sajak Sahabat Dalam Kenangan

Sajak Cahaya Batin

Puisi: Sajak Hanya Sekuntum Bunga