Cerpen disebalik kalimah bambawaran

Hujung mingguku kuhabiskan dengan membaca surat khabar di beranda rumahku. Kegemaranku membaca di ruangan cerpen-cerpen Melayu yang terkandung pelbagai cerita. Tetapi, barangkali aku amat tertarik oleh cerpen yang bertajuk ‘bambawaran’, nukilan Azliza Muhammad. Setelahku menelaah hasil nukilan beliau, aku berfikir sejenak, “Bambawaran... bambawaran... perkataan ini seperti pernah aku dengar...”

Sebenarnya, perkataan ini sudah sekian lama tidak digunakan yang menyebabkan perkataan tersebut tidak diterbitkan dimana-mana kamus mahupun Kamus Dewan. Oleh sebab itu, masyarakat tidak tahu akan asal usul perkataan ‘bambawaran’. Hendak merujuk kamus, tidak diterbitkan,hendak mencari di internet, tiada juga jawapan. Apabila bertanya kepada pihak atasan, mereka juga tidak tahu akan jawapannya. Hingga aku bertanya kepada nenekku serta orang-orang kampungku, tiada seorang pun yang dapat memberikan jawapan.

Setelah lama aku mencari jawapan kepada perkataan ‘bambawaran’, terdapat pelbagai jawapan yang aku terima. Ada pendapat mengatakan bahawa perkataan ‘bambawaran’ ialah perkataan sastera lama yang digunakan oleh moyang-moyang kita pada zaman dahulu, ada yang berpendapat perkataan ‘bambawaran’ berasal dari dua patah perkataan gabungan dan ada juga yang berpendapat perkataan tersebut terdiri daripada bahasa Sanskrit iaitu bahasa kesusasteraan Hindu lama. Tetapi, dalam berbagai-bagai pendapat yang aku terima, puratanya ramai mengatakan bahawa ‘bambawaran’ bermaksud nama seseorang pada zaman dahulu. Walaubagaimanapun, bagiku, jawapan yang aku peroleh tidak sedikit pun berkaitan dengan pantun tersebut.

Disebabkan aku mati akal, aku berpendapat bahawa perkataan ‘bambawaran’ dalam pantun tersebut merujuk kepada seseorang pada zaman dahulu. Aku berusaha mencari kisah mengenai ‘bambawaran’ melalui orang-orang yang lebih memakan asam garam daripadaku, melayari internet dan membuat rujukan di perpustakaan awam. Tetapi, malangnya aku tidak menemukan sebarang jawapan. Alangkah hampanya hatiku setelah sekian lama aku mencari jawapannya. Tidak aku peroleh apa yang sepatutnya kukecapi. Apakah sampai di sini sahaja usahaku? Apakah aku ingin melupakan sahaja usahaku selama ini untuk mencari erti ‘bambawaran’? adakah aku ingin berputus asa dan berhenti diseparuh jalan? Tidak... aku akan terus berpegang pada prinsip hidupku, “kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih”. Tubuh dan hatiku ini masih tegar untuk mencari erti disebalik perkataan ‘bambawaran’.

Setiap hari buah fikiranku mengeringatkan semata-mata ingin tahu maksud di sebalik perkataan ‘bambawaran’. Sikap aku yang ingin tahu ini tidak sedikit pun berkurang walaupun telah banyak kaedah dan alternatif yang aku gunakan untuk mencari maklumat. Seribu satu soalan bermain dimindaku. Apakah perkataan ini adalah kata pinjaman dari mana-mana bahasa? Ataupun adakah perkataan ini salah ejaannya? Tetapi, jika perkataan ini salah, mesti ada perkataan yang bunyinya hampir sama dengannya. Soalan semakin bertalu-talu difikiranku. Sekali lagi Kamus Dewan ini kubuka helaiannya satu per satu. Aku menyemak perkataan yang terkandung dengan teliti. Apakah nasibku ini... tidak ada satu perkataan pun yang hampir bunyinya dengan ‘bambawaran’. Keluhnya hati ini, cuma aku yang tahu.

Sehinggalah suatu masa ini, ada seorang guru baharu di sekolahku. Dengarnya guru ini mengajar subjek Biologi. Beliau juga mengajar subjek Sejarah. Kami juga telah diberitahu oleh guru kelas bahawa beliau akan mengajar di kelasku matapelajaran Sejarah.setelah hampir dua minggu beliau mengajar di sekolahku, aku sudah dapat menyuaikan diri dengannya. Beliau amat teliti dan kerap kali menegurku jika aku ada melakukan kesalahan ejaan mahupun tatabahasa. Tidak hairanlah warga-warga sekolahku mengatakan beliau arif dan celik berkaitan dengan Bahasa Melayu sama ada perkataan itu baharu, lama, sastera, Sanskrit, bombastik dan sebagainya. Beliau juga serba tahu tentang puisi-puisi Melayu tradisional yang terbahagi kepada 18 jenis. Beliau mempunyai bakat dan handal dalam bersyair, bersajak lebih-lebih lagi berpantun. Setelah aku berfikir masak-masak, aku mengambil keputusan untuk bertanya kepada beliau maksud ‘bambawaran’. Tiada apa-apa yang perlu aku takutkan atau malukan kerana bak kata pepatah malu bertanya sesat jalan.

Setelah tamat sesi persekolahan, aku bertanyakan maksud perkataan ‘bambawaran’ kepada beliau. Aku benar-benar berharap agar beliau mempunyai jawapan yang benar dan tepat tentang perkataan tersebut. Akhirnya, beliau menerangkan setiap maksud yang terdapat dalam perkataan ‘bambawaran’.

Maksud 1: Nama seseorang pada suatu masa dahulu.

Maksud 2: Emas tulen. Emas yang tidak dicampur dengan bahan-bahan lain. Emas yang kualitinya paling tinggi.

Apa sebab bergelang paun,
Bambawaran gelang di kaki,
Apa sebab ku teraun-aun,
Pembawaan sudahlah di hati.

“perkataan ‘bambawaran’ yang dimaksudkan dalam pantun tersebut ialah maksud yang kedua iaitu emas tulen dan berkualiti tinggi manakala paun pula membawa maksud emas berkualiti rendah. Pembayang pantun yang hendak disampaikan oleh penulis ialah, “ Mengapa mesti memakai gelang emas berkualiti rendah sedangkan di kaki di pakaikan gelang emas tulen dan berkualiti tinggi?” kata beliau.

Tetapi, jika hendak dihuraikan maksud ‘bambawaran’, terdapat dalam lima ke enam maksud lain berkenaan dengannya. Walaubagaimanapun, aku akan terus berusaha untuk mencari erti ‘bambawaran’ yang lain. Aku akan terus mengupas dan merungkai maksud-maksud yang tersirat dalam perkataan ‘bambawaran’ bak kata pujangga “Setiap perkara yang kita rungkaikan pasti ada jawapannya walaupun ia agak memakan masa dan mengambil tempoh yang lama.”

Setelah sekian lama bergelumang dalam kebuntuan, akhirnya aku peroleh jawapan yang aku impikan selama ini. Tidak sia-sia usahaku selama ini. Alangkah gembiranya aku apabila usahaku membuahkan hasil bak kata orang dulu-dulu, usaha itu tangga kejayaan. Setiap ilmu itu tidak akan datang bergolek tetapi mestilah dicari dan dikaji. Bergantunglah pada diri kita sama ada malas atau rajin bak kata pepatah dimana ada kemahuan, disitu ada jalan. Beliau juga sering berpesan kepadaku teruskan berusaha kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Sebelum saya mengakhiri cerpen saya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kedua ibu bapa saya dan guru-guru yang sentiasa menjadi rujukan utama. Tidak dilupakan juga rakan-rakan yang telah banyak membantu saya dan akhir sekali, ‘BELIAU’. ‘BELIAU’ yang saya maksudkan ialah Encik Shahril bin Sabudin. Jika bukan kerana beliau, mungkin sehingga kini saya masih tidak dapat menemukan sebarang jawapan mengenai ‘bambawaran’. Beliau mempunyai pengetahuan yang amat luas mengenai Bahasa Melayu. Tidak dilupakan juga, Puan Azliza binti Muhammad yang sudi berkongsi cerpen ‘bambawaran’. Kini, persoalan Puan Azliza telah saya jawabkan. Semoga jawapan saya bermanfaat untuk Puan Azliza dan warga-warga Malaysia di luar sana.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sajak Sahabat Dalam Kenangan

Sajak Cahaya Batin

Puisi: Sajak Hanya Sekuntum Bunga